Tuesday, June 15, 2010

Ekspedisi Gunung Nuang



Pada 10 Mei 2010 yang lepas,telah diadakan ekspedisi mendaki gunung yang bertempat di Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan.Ekspedisi 3 hari 2 malam ini adalah program berbentuk ekspedisi lasak yang dicadangkan oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti Mekanikal dan diadakan bertujuan untuk mencabar ketahanan mental dan fizikal dikalangan pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.
Selain itu, program ekspedisi ini telah memberi ruang kepada pelajar fakulti kejuruteraan mekanikal di bawah kendalian Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) untuk menganjurkan aktiviti mencabar untuk kali kedua selepas ekspedisi Gunung Angsi atas nama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.
Selain menunjukkan bahawa Fakulti Mekanikal Kejuruteraan Mekanikal juga mampu mengendalikan aktiviti luar kampus disamping mengendalikan program dalaman fakulti, penganjuran ekspedisi ini juga sebagai simbolik bahawa pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal mampu menghadapi segala cabaran samada cabaran luar seperti pendakian Gunung Nuang ini disamping menghadapi cabaran untuk menjadi graduan profesional.

Objektif utama program Ekspedisi Gunung Nuang ini adalah untuk:
i. Menguji dan meningkatkan daya kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental pelajar dan kakitangan yang mengikuti ekspedisi pendakian yang mencabar ini.

ii. Menunjukkan bahawa penglibatan pelajar Kejuruteraan Mekanikal dalam organisasi serta berpersatuan adalah penting untuk melahirkan graduan yang profesional dan memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat dan negara (modal insan).

iii. Merapatkan hubungan antara kakitangan FKM dengan pelajar Kejuruteraan Mekanikal disamping bertukar-tukar pendapat, pandangan serta pengalaman diantara pelajar Kejuruteraan Mekanikal yang berlainan semester.



Seramai 44 orang terdiri daripada 4 orang kakitangan dan juruteknik FKM, 26 orang pelajar ahli persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti Mekanikal UiTM dan selebihnya adalah pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal telah menjadi peserta.
Setiap aktiviti berjalan dengan lancar. Misi utama iaitu pendakian ke puncak Gunung Nuang juga berjalan dengan lancar walaupun pendakian gunung yang mencabar. Keadaan “trek” yang licin tidak menjadi halangan kepada para peserta untuk sampai ke puncak Gunung Nuang. Walaupun terdapat beberapa orang peserta mengalami kecederaan semasa pendakian, dengan semangat, stamina yang tinggi serta mental yang kuat yang ada pada setiap peserta ekspedisi, akhirnya para peserta berjaya menawan puncak Gunung Nuang pada jam 1 tengah hari setelah 4 jam mendaki. Perjalanan pulang juga berjalan dengan lancar. Para peserta selamat sampai ke tapak perkhemahan pada jam 5 petang.


Namun begitu, terdapat sedikit masalah apabila salah seorang peserta tidak dapat meneruskan perjalanan ke tapak perkhemahan akibat terlalu letih. Operasi menyelamat mangsa dilancarkan lebih kurang jam 8.30 malam. Operasi ini disertai oleh 2 orang kakitangan dan sekumpulan pelajar. Operasi menyelamat ini berakhir pada jam 10 malam.
Secara keseluruhannya, ekspedisi ini telah mencapai matlamat yang disasarkan iaitu meningkatkan daya kepimpinan, ketahanan fizikal dan mental pelajar dan kakitangan yang mengikuti ekspedisi pendakian yang mencabar ini. Selain itu peserta juga telah berjaya mengharumkan nama baik Fakulti Kejuruteraan Mekanikal serta menaikkan nama UiTM sebagai ‘World Class University’ serta telah menunjukkan semangat pelajar Kejuruteraan Mekanikal dalam organisasi serta berpersatuan dalam melahirkan graduan yang profesional.
Selain itu, ekspedisi ini telah berjaya merapatkan hubungan silaturrahim antara kakitangan FKM dengan pelajar Kejuruteraan Mekanikal disamping bertukar-tukar pendapat, pandangan serta pengalaman diantara pelajar Kejuruteraan Mekanikal yang berlainan semester.
Pihak Sekretariat Mahasiswa Fakulti sesi 2010/2011 di bawah kendalian Exco Sukan, Rekreasi dan Kebudayaan SMF sebagai penganjur Ekspedisi Gunung Nuang mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Fakulti Kejuruteraan Mekanikal kerana memberi kelulusan untuk mengadakan program ini.