Monday, July 19, 2010

Carta Organisasi SMF 2010/2011


Thursday, July 1, 2010

Operasi Kemasyarakatan " Bersamamu Warga Desa "






Pada 28,29 dan 30 Mei 2010 yang lalu,program yang berbentuk khidmat masyarakat anjuran Sekreteriat Mahasiswa Fakulti telah berlangsung di Kampung Chopin Kanan, Parit, Perak. Program Bersamamu Warga Desa merupakan satu program yang diadakan bagi melatih ahli-ahli Sekretariat Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan juga pelajar-pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal mengenai kemahiran bersosial dan komunikasi dengan masyarakat luar. Hal ini bagi mendedahkan kepada mahasiswa betapa pentingnya interaksi dengan masyarakat di luar Shah Alam khususnya dan Selangor amnya.

Program seperti ini juga telah memberi ruang kepada para pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sendiri yang bernaung di bawah Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) untuk menguruskan program yang memerlukan interaksi dua hala dengan masyarakat luar. Dalam program ini, pelajar perlu berhubung dengan penduduk kampung melalui ketua kampung. Kejayaan perlaksanaan program ini menunjukkan bahawa pelajar Fakulti Mekanikal Kejuruteraan Mekanikal juga mampu mengendalikan aktiviti luar yang besar disamping mengendalikan program dalaman fakulti.



Objektif utama program ini antara lain ialah:

1. Menguji dan meningkatkan daya kepimpinan, keutuhan fizikal dan mental pelajar dan kakitangan yang mengikuti program ini.
2. Menggilap bakat kepimpinan dan membentuk sikap bertanggungjawab dan amanah di kalangan pelajar dalam menjalankan tugas sebagai ahli jawatankuasa persatuan.
3. Membolehkan peserta mendapat pendedahan dengan aspek kebolehan berunding dan mencapai persetujuan.
4. Membolehkan peserta mengembang dan memperbaiki kemahiran bersosial dalam masyarakat.
5. Membolehkan peserta mengembangkan minda dan bersifat ingin tahu serta dahagakan ilmu.
6. Membolehkan peserta mengetahui teori asas kepimpinan dan interaksi yang sebenar.
7. Menunjukkan bahawa penglibatan pelajar kejuruteraan mekanikal dalam organisasi serta berpersatuan adalah penting untuk melahirkan graduan yang profesional dan memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat dan negara (modal insan).
8. Merapatkan hubungan silaturrahim antara kakitangan FKM dengan pelajar Kejuruteraan Mekanikal disamping bertukar-tukar pendapat, pandangan serta pengalaman diantara pelajar Kejuruteraan Mekanikal yang berlainan semester.
9. Membentuk satu jaringan interaksi antara Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dengan masyarakat Kampung Chopin Kanan.
10. Mempromosikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) khususnya Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) kepada anak-anak muda penduduk kampung tersebut.

Seramai 32 orang peserta telah menyertai program ini. Antaranya ialah seramai lima (5) orang staf FKM yang terdiri daripada kakitangan dan juruteknik serta 27 orang pelajar fakulti Kejuruteraan Mekanikal yang terdiri daripada ahli SMF-FKM dan juga pelajar berlainan semester FKM.

Aktiviti yang dijalankan pada hari pertama ialah “Ice Breaking” di mana para peserta yang terlibat telah dibahagikan kepada enam (6) kumpulan dan perlu memperkenalkan diri masing-masing di hadapan peserta yang lain. Selain itu, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) turut diadakan. Dalam LDK pertama, setiap kumpulan dikehendaki menghasilkan sebuah payung terjun yang berupaya mendaratkan sebuah bekas berisi air dengan sempurna. LDK kedua pula, pelajar bermain regu dengan meneka peribahasa yang diberikan. Peserta telah dapat menyempurnakan segala tugas yang diberikan kepada mereka dengan amat baik.



Pada hari kedua, pelajar terlibat dengan aktiviti kemuncak program iaitu khidmat sosial. Dalam aktiviti khidmat masyarakat ini, peserta telah berjaya membuktikan semangat tolenrasi dan kerjasama yang tinggi setelah berjaya melakukan setiap tugasan yang diberi mengikut kumpulan-kumpulan tertentu. Para peserta dipecahkan kepada tiga kumpulan. Kesemua peserta sama ada dari kalangan pelajar fakulti mahupun kakitangan fakulti mempunyai tugas masing-masing dan telah berjaya menyempurnakannya dengan cemerlang.

Kumpulan pertama ditugaskan untuk membersihkan serta menceriakan kawasan dalam rumah seorang penduduk kampung yang mengalami penyakit angin ahmar. Para peserta kumpulan pertama telah menukar tikar yang sedia ada kepada tikar baru, mengubah susun atur perabot dan membersihkan segala kotoran. Kumpulan kedua pula membersihkan kawasan persekitaran rumah dengan menebas pokok-pokok yang merimbun, membersihkan daun-daun
kering dan membuang segala perkakas rumah yang tidak digunapakai lagi. Kumpulan ketiga ditugaskan untuk bergotong royong dengan masyarakat kampung memasak pelbagai juadah
untuk jamuan pada tengah hari.


Selepas semua tugas telah disempurnakan, para peserta bersama penduduk kampung
menikmati juadah yang telah disediakan bersama-sama. Dalam acara itu, Prof. Madya Ir. Sunhaji Kiyai Abas turut serta. Beliau sempat memberi sepatah dua kata di samping memberi cenderahati kepada Ketua Kampung Chopin Kanan tersebut. Selepas selesai menjamu selera, para peserta bergotong-royong membersihkan semua pinggan mangkuk dan juga kelengkapan yang telah digunakan ketika memasak.

Pada hari terakhir pula, para peserta program telah berekriasi di Sungai Kelah Hot Springs. Permainan bola air yang dimainkan oleh para peserta dilihat sekadar permainan biasa, namun, ia berupaya untuk menguji tahap kecergasan para peserta di samping menguji semangat berpasukan dan tolenrasi antara satu sama lain. Para pelajar juga telah mempelajari kejadian air panas, kesan terapi daripada suhu air yang berbeza dan berupaya mengaplikasikan dalam pelajaran setelah diberi penjelasan dari pensyarah yang turut ikut serta program ini.


Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai matlamat yang disasarkan iaitu meningkatkan daya kepimpinan, mengasah kemahiran sosial dan khidmat masyarakat, ketahanan fizikal dan mental pelajar. Selain itu peserta juga telah berjaya mengharumkan nama baik fakulti kejuruteraan mekanikal serta menaikkan nama UiTM sebagai ‘World Class University’ serta telah menunjukkan semangat pelajar kejuruteraan mekanikal dalam organisasi serta berpersatuan dalam melahirkan graduan yang profesional.